BAB 5
IFFA membetulkan tudungnya
yang agak senget. Secalit lip balm di bibirnya membuatkan wajahnya
semakin berseri. Jam sudah menunjukkan angka dua petang. Dia harus segera ke
balai polis untuk membuat aduan tentang beg duitnya yang hilang. Dia tidak
kisah tetapi isi penting di dalam beg duit itu sentiasa membuatnya gelisah.
Sebaik saja Iffa sampai
di muka pintu, dia tersenyum manis ke arah Sara yang setia menunggunya siap
bersolek. Sara membalas senyuman Iffa. Iffa mengunci pintu rumah kemudian dia
masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan dan terus bergerak menuju ke balai
polis yang berdekatan.
Tidak sampai setengah
jam, dia sudah melihat balai polis yang jelas kelihatan dari seberang jalan.
Setelah mencari tempat letak kereta yang sesuai, Iffa dan Sara turun dari
kereta dan sampai hingga separuh jalan, Iffa bersuara.
“Sara.. Kau masuk
dululah. Nanti aku susul kau dari belakang. Aku nak ambil barang dalam kereta,”
ujar Iffa.
Sara hanya mengangguk
faham akan permintaan Iffa lalu dia melangkah pergi memasuki balai polis itu.
Iffa membuka beg
tangannya. Dia tercari-cari keberadaan telefon bimbitnya sedari tadi. Jalan
yang agak lengang tidak menyukarkan Iffa untuk terus mencari. Apa yang hendak
ditakutkan, dia berada di balai polis sekarang. Dia mencari di sekeliling
kereta. Takut-takut telefon bimbitnya jatuh tanpa sedar. Almaklumlah dia sedang
mengejar masa sehingga tidak perasan akan hal seperti itu. Alangkah cuainya
dia.
Hoonnnn.. Honnn !! Bunyi
hon kereta jelas kedengaran di telinga Iffa. Iffa menoleh. Tiba-tiba dia merasa
tangannya ditarik laju oleh seseorang dan menariknya ke dalam pelukan.
Iffa tergamam dengan
perbuatan drastik itu. Lama otaknya giat berfikir. Apa?!! Dia dipeluk?
Cepat-cepat Iffa menolak badan empunya diri apabila dia menyedari itu. Dia
mengalihkan pandangannya ke arah seseorang yang menyelamatkannya dari kereta
tadi.
“Qasyaf Aiman?” Iffa
ternganga tidak percaya. Apa lelaki itu buat di tempat ini.
“Berapa kali aku nak
selamatkan kau ni? Tak tau nak jaga diri sendiri ke?” Pedas saja ayat yang
luncur keluar dari mulut Qasyaf.
Iffa geram. “Baru
sekali,” ujar Iffa acuh tak acuh.
“Dua kali.” Qasyaf
membetulkan kata-kata Iffa.
Iffa pelik. “Macam mana
boleh jadi dua kali pula?”
“Kali pertama aku
selamatkan kau daripada duduk kau sorang-sorang tak tentu arah kat puduraya
tu.” Qasyaf senyum senget.
Kening Iffa berkerut.
“Itu bukan awak selamatkan saya, tapi awak hampir langgar saya. Sebab tu saya
suruh awak hantar saya balik.”
Qasyaf menggeleng. “Tak
kiralah. Kalau aku tak ada, mungkin kau dah kena macam-macam kat sana. Kau tu
cuai sangat.”
Iffa bengang. “Kenapa
awak peluk saya? Awak bukan mahram saya tau.” Iffa mengetap bibir. Dia
betul-betul marah di atas kelakuan Qasyaf yang tidak bermoral itu.
Qasyaf tergelak kecil.
“Kalau macam tu, kau jadilah mahram aku.”
Iffa beristighfar dalam
hati. Dia tidak boleh berlama-lama dengan Qasyaf. Ada perkara yang lebih utama
untuk di selesaikannya. Kasihan Sara menunggu lama di dalam balai polis itu.
“Dahlah awak. Saya
banyak kerja nak dibuat.” Iffa memalingkan tubuhnya dari Qasyaf. Dia hendak
pergi segera. Tidak mahu berurusan lagi dengan Qasyaf.
Iffa cuba melintas jalan
tetapi tangannya ditarik laju oleh Qasyaf. Dia terdiam. Lelaki ini memang tidak
faham bahasa. Cukuplah sekali dia mengingatkan. Tidak perlu diulang-ulang lagi.
Iffa merentap tangannya.
“Kan saya dah kata, awak bukan mahram saya. Jangan pegang-pegang saya.”
Qasyaf tersenyum simpul.
Sedikit pun tidak ada rasa takut dalam hatinya.
“Aku datang nak jumpa
kau.”
Iffa terpaku. Dia
memandang wajah si lelaki itu. “Nak buat apa? Lagipu mana awak tau saya ada kat
sini?” Dia masih sebal dengan Qasyaf.
“Kebetulan aje. Aku
ternampak kau kat traffic light tadi. Itu yang aku ikut kau sampai ke
sini.” Qasyaf memasukkan tangannya ke dalam kocek baju kotnya.
“Kenapa awak nak jumpa
saya ni?” Iffa menjeling takut. Dia seperti mangsa yang bakal diragut oleh si
peragut.
“Kau janganlah takut
sangat. Aku cuma makan nasi aje. Aku tak makan orang,” ujar Qasyaf tenang.
Iffa diam. Tidak ada
apa-apa jawapan yang harus dijawabnya.
“Aku nak bagi ni.”
Qasyaf menghulurkan beg duit milik Iffa yang dijumpainya itu.
Membuntang mata Iffa
melihat beg duitnya. Dia merampas laju. Dia ingin memeriksa isi beg duitnya
tetapi tidak sempat kerana perbuatannya pantas dihalang oleh kata-kata Qasyaf.
“Jangan risau. Tak ada
yang hilang. Beg duit kau tu tertinggal kat dalam kereta aku akibat kecuaian
kau sendiri.” Sengaja Qasyaf menekankan suaranya pada perkataan ‘cuai’.
Iffa menjeling tajam.
Kedatangan Sara mematikan perbualan antara Iffa dan Qasyaf. Qasyaf meminta diri
sejurus saja Sara mendekati Iffa. Iffa teragak-agak. Dia belum mengucapkan
terima kasih kepada Qasyaf. Entah bila lagi dia boleh bertemu dengan lelaki
tinggi lampai itu.
“Kenapa Iffa?” Sara dan
Iffa hanya memandang setiap langkah Qasyaf sehingga lelaki itu lenyap dari
pandangan mereka.
Qasyaf Aiman
“Iffa.. Kenapa dia
datang jumpa kau?,” ulang Sara. Iffa mengeluh berat.
“Jom balik,” ajak Iffa.
Kakinya melangkah masuk ke dalam kereta.
Sara terpinga-pinga. Dia
hanya mengikut jejak langkah Iffa.
“Beg duit aku dah
jumpa.” Tiba-tiba Iffa bersuara. Matanya tetap ditumpukan ke atas jalan raya.
Sara menoleh memandang
Iffa. “Dah jumpa? Kat mana?”
“Qasyaf bagi. Beg duit
aku tertinggal kat dalam kereta dia hari tu.” Iffa menjawab jujur.
“Owh. Okey,” ujar Sara
ringkas. Dia tidak mahu mengganggu emosi Iffa. Sepertinya Iffa terfikirkan
sesuatu. Fikiran wanita ini memang susah hendak diramal. Kadang-kadang mendung kadang-kadang
cerah. Sara hanya menggeleng.
**************
IFFA menghentikan
perbuatannya apabila telefon bimbitnya berdering menyanyikan lagu Jason Mraz.
Siapa pula yang menelefonnya malam-malam begini. Iffa berlalu pergi
meninggalkan Sara sendirian di dapur. Biar gadis itu meneruskan kerja
memasaknya itu.
Punat hijau ditekan.
Dilekapkan telefon itu ke telinganya. Ingin tahu siapakah gerangan di hujung
talian. Nombor telefon si pemanggil tidak ada di dalam senarai kenalannya.
Jelas sekali dia tidak mengenali si pemanggil.
“Assalamualaikum.”
Dengan lembut, Iffa bersuara. Tanda hormat walaupun dengan orang yang tidak
dikenalinya. Bukankah itu satu adab?
“Lembutnya suara kau.
Mau gugur jantung aku mendengarnya.” Kedengaran satu suara dari corong telefon.
Iffa terpana. Dilihatnya
semula nombor telefon yang tertera di skrin telefon bimbitnya. Dia ragu. Siapa
ni?
“Siapa ni? Maaf, encik.
Kalau boleh, tolong jawab salam saya dulu.” Iffa mengingatkan kerana dia pasti
si pemanggil adalah seorang muslim sepertinya.
Kedengaran si pemanggil
hanya tergelak kecil. Iffa merengus geram. Lawak ke? Salahkah dia sekadar
mengingatkan? Iffa mengetap bibir. Geram.
“Wa’alaikumsalam, Cik
Nur Iffa Afifah.”
Iffa tersentak apabila
lelaki itu mengenalinya. “Encik ni siapa sebenarnya? Ada apa-apa yang encik nak
tanya ke? Atau encik salah seorang bapa daripada anak murid saya?” Bertubi-tubi
soalan yang Iffa ajukan kepada lelaki itu. Biar dia rasa. Nak mengenakan aku
sangatlah tu.
Iffa melabuhkan duduknya
di atas sofa. Penat berdiri lama menunggu jawapan dari lelaki itu.
“Qasyaf. Qasyaf Aiman.
Kau mesti kenal aku kan? Lelaki paling hensem di Kuala Lumpur ni.” Gelak tawa
sudah berhambur keluar dari mulut Qasyaf. Dia yang bergurau, dia sendiri yang
gelak.
Iffa terdiam. Bagaimana
Qasyaf boleh menghubunginya sedangkan dia tidak pernah memberikan nombor
telefon miliknya kepada lelaki itu. Iffa hanya diam membiarkan lelaki itu terus
berbicara sendiri. Malas nak melayan.
“Kau dengar tak apa yang
aku cakap ni?”
Iffa tersentak apabila
suara Qasyaf semakin kuat. Lebih kepada menjerit. “Dengar.” Iffa mengiyakan.
“Sebelum saya terlupa,
saya nak ucap terima kasih pada awak sebab pulangkan beg duit saya.” Ingin
sahaja dia memotong lidahnya itu selepas mengucapkan terima kasih kepada
Qasyaf. Tak sudi sebenarnya tapi terpaksa kerana dia bukanlah orang yang tidak
tahu berterima kasih.
Qasyaf tergelak. “It’s
nothing. Esok kau jumpa aku kat Sinar Holding. Ada perkara yang aku nak
bincangkan.” Permintaan Qasyaf berbaur arahan.
Iffa terpana. Ada
perkara yang hendak dibincangkan? Apa maksud lelaki itu? Setahunya, dia tidak
pernah berurusan dengan Qasyaf dalam urusan kerja.
“Kenapa pula saya perlu
berjumpa dengan awak? Maaflah Encik Qasyaf, saya tidak berminat nak berurusan
dengan encik,” ujarnya terus terang. Malas hendak memanjangkan cerita.
“Wajib. Kau wajib
datang. Sebab tu bukan satu permintaan tapi satu arahan.” Kedengaran serius
suara Qasyaf.
Iffa buat tidak tahu.
Dia ingin menyedapkan hatinya. Entah mengapa dia merasakan ada sesuatu yang
telah menimpanya saat ini. Dadanya diusap-usap lembut.
“Mana boleh macam tu.
Apa encik ingat saya ni patung ke boleh diarah ke sana ke sini,” marah Iffa.
Posisi duduknya dibetulkan sedikit agar dia lebih selesa.
“Tak lama lagi kau akan
jadi patung aku.”
Iffa tergamam. Apa
maksud dia. “Tak nak. Saya kata tak nak. Saya tak akan datang esok,” tegas nada
suara Iffa. Dia tidak mahu kalah dengan lelaki yang tidak berapa dia kenali
itu.
“Ikut kaulah. Tapi kau
jangan meyesal kalau aku buat report yang kau ni pendatang asing.” Qasyaf
berkata selamba.
Nur Iffa Afifah
“Pendatang asing?” Iffa
sedikit pelik dengan telahan yang baru diungkapkan oleh Qasyaf.
“IC kau ada pada aku.
Kalau kau nak, esok kau kena datang ke Sinar Holding. Kalau kau tak datang, kau
taulah nasib kau.” Qasyaf mematikan talian tanpa menunggu sebarang kata-kata
dari Iffa.
Iffa tercengang. IC aku
pada dia? Iffa lekas bangun dari sofa dan terus menuju ke biliknya. Beg duit
yang diterimanya dari Qasyaf, dibuka semula. Almaklumlah tadi dia tidak sempat
hendak memeriksa gara-gara kelakuan Qasyaf yang membuatnya lupa akan beg
duitnya itu.
Mata Iffa tertumpu
kepada sekeping nota yang terselit di tempat letak kad pengenalannya yang
diambil oleh Qasyaf itu.
Sorry, dear. Aku
pinjam IC kau iya.
Iffa merengus geram. Beg
duitnya dihempas ke lantai. Geram dengan perbuatan Qasyaf. “Dia kata dia tak
ambil apa-apa. Geramnya aku.” Iffa melepaskan geram sekuat hati.
Sara menolak pintu bilik
Iffa. “Kenapa pulalah dengan dia ni,” kata Iffa perlahan. Dia mendekati Iffa
yang duduk di birai katil.
“What’s wrong, dear?”
“Qasyaf ambil IC aku.
Memang dasar lelaki tak guna. Suka sangat menyusahkan aku setiap kali aku jumpa
dia.” Iffa meluahkan rasa hatinya kepada Sara.
Sara mengusap bahu Iffa.
“Nak buat macammana. Kau dah termasuk dalam dunia dia. Dah tak boleh buat
apalah,” ujar Sara.
Perbualan mereka tidak lama
disebabkan deringan telefon bimbit Iffa kembali berbunyi. Iffa bengang. Mesti
lelaki tak ada hati perut tu.
Iffa mencapai telefon
bimbitnya di atas meja solek. Skrin telefon ditatapnya. Ibu? Cepat-cepat dia
menekan punat hijau kemudian telefon itu dilekapkannya ke telinga. Sara hanya
berdiam diri menunggu reaksi seterusnya.
“Assalamualaikum, ibu.”
Iffa cuba mengawal tone suaranya. Tidak mahu suara marahnya itu dikesani oleh
ibunya.
Iffa pelik. Suara ibunya
menjawab salam ada sedikit kelainan. Seperti seorang yang baru menangis.
“Ibu, kenapa suara ibu?
Iffa macam rasa yang ibu baru habis menangis. Ada apa-apa yang berlaku ke?”
Iffa sudah mulai tidak sedap hati.
Sara juga sibuk
mendengar. Dia juga tidak sedap hati mendengar tutur bicara Iffa.
“Apa?!!” Iffa terkedu.
Sara juga begitu. Dia
terkejut melihat reaksi Iffa itu.
“What’s wrong?” Sara
terus bertanya sebaik sahaja Iffa mematikan taliannya.
Iffa sudah bergenang air
mata. “Along aku. Along aku.”
“Kenapa dengan Airil?”
Sara juga sudah terasa lain. Takut-takut sesuatu berlaku kepada buah hatinya
itu.
“Along.. Along kemalangan.” Iffa
tersedu. Dia tertekan kerana malam ini dia ditimpa dua musibah.
Sebaik sahaja ayat itu
terluah dari bibir mungil Iffa, mata Sara terus digenangi air mata. Ya Allah..
Apa yang dah berlaku ni. Kau selamatkanlah Airil...
~~~~~~~~~~~~
Alhamdulillah, hari baru sempat nak post UC 5.. maaf atas kelewatannya.. Hope tinggalkan komen pada karya Afie yang tak seberapa ni.. Enjoy reading ~~ tq
6 comments:
ok best2...
up bab sterusnya cpt2 k dear...
:)
Best. x sabar nk bc yg seterusnya.........tahniah
bestt
comelnye gmbar2 tu
aka buat sndiri ke
@iffah afiqah
gmbr ape yunk oii..
apa yg dia nak buat....??cepat la sambung....
best3.....
saspen ni, apa jadi lps ni?
sambung cepat ckit...
Post a Comment