Ugutan Cinta 6

,5/26/2013 07:18:00 AM | 5 Comment


BAB 6

“IFFA, maafkan saya.” Sayup-sayup kedengaran suara Ridzwan meminta maaf. Semakin lama, bayangan Ridzwan lenyap dari pandangan Iffa.
     Iffa terpana. “Wan. Awak tak boleh tinggalkan saya macam ni. Wan.,” jerit Iffa tersedu dalam tangis.
     Iffa terjaga dari tidurnya. Nafasnya turun naik. Cepat-cepat dia beristighfar sambil mengurut-urut dadanya. “Ya Allah.. Apa maksud dari mimpi tadi?” bisik Iffa perlahan.
     Sejak akhir-akhir ini, dia selalu bermimpi tentang arwah Ridzwan. Entah kenapa dia merasakan ada sesuatu yang hendak dikatakan oleh lelaki itu. Mukanya diraup beberapa kali. Dia bangkit dari katilnya memandangkan jam sudah berganjak 5.40 pagi.
     Iffa mencapai tualanya. Dia bergegas masuk ke bilik air. Tidak sampai 15 minit, dia keluar dari bilik air lalu dia mencapai kain telekung yang tersidai di penyangkut baju dan terus memakainya.
     “Allahuakbar..” Iffa mengangkat takbiratul ihram dan melakukan rukun seterusnya.
     Usai solat subuh, Iffa mencapai surah yasin yang tersedia di atas meja itu lalu dibacakannya buat Airil dan arwah Ridzwan yang baru pergi menghadap ilahi baru-baru ini.
     Memandangkan hari ni adalah hari ahad, Iffa bercadang untuk pulang ke kampung. Dia ingin melihat keadaan Airil. “Ya Allah.. kau selamatkanlah Along..” Hati kecilnya berbisik sayu.
     Iffa menolak pintu biliknya. Tiba-tiba dia terpaku di depan pintu apabila dia melihat Sara duduk sambil menangis di depan pintu biliknya. Dia mendekati gadis itu.
     “Sara, kenapa ni?” Iffa memeluk bahu kawannya itu.
     Sara menangis. Iffa jarang melihat Sara menangis begitu. Mungkin berita tentang kemalangan Airil memberi kerisauan yang teramat kepada gadis itu.
     “Sara.. Dah lah tu. Kalau kau menangis macam ni, takkan memberi kesan apa-apa pada Along aku. Baik kau pergi siap-siap, kita balik Sabak Bernam sekarang. Aku dah siap packing barang. Aku tolong kau, okey?” Iffa memberi arahan.
     Sara mengangguk. Mereka berdua mula berkemas untuk ke Sabak Bernam. Selesai siap berkemas, Sara dan Iffa pula yang menyiapkan diri mereka. Jam yang menunjukkan angka 7.30 pagi membuatkan langit sudah mula cerah.
     Kali ini Sara yang memandu. Iffa hanya duduk diam di sebelah. Tidak ada mood hendak bersembang. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Tertera perkataan ‘Mamat kejam’ di skrin telefon bimbitnya. Iffa mengeluh kecil. Masalah datang lagi..
     “Assalamualaikum, nak apa?” Tanpa menunggu masa, Iffa terus bertanya tujuan lelaki itu menelefonnya.
     “Wa’alaikumsalam. Aii.. Mendung aje suara. Kenapa?” tanya Qasyaf dari corong telefon. Ada nada lucu pada tutur bicaranya.
     “Kalau tak ada apa-apa nak cakap, lain kali tak perlulah awak nak telefon saya.” Malas Iffa hendak melayan kerenah Qasyaf. Dia sedang panas hati. Takut-takut saja kalau dia melenting kepada lelaki itu.
     “Marah betul. Aku nak ingatkan kau. Jangan lupa datang office aku pukul 10 pagi nanti.” Semangat Qasyaf mengingatkan gadis  itu.
     Iffa mengeluh berat. “Kenapalah lelaki yang seorang ni tak faham bahasa,” ujar Iffa perlahan.
     “Apa dia?” tegur Qasyaf seakan-akan dia mendengar bisikan Iffa.
     “Maaflah, Encik Qasyaf. Saya memang tak boleh nak pergi sebab saya kena balik kampung sekarang." Iffa jujur.
     “Alasan kau kut.”
     Iffa bengang. “Ishh.. Bengkak pula hati saya ni. Encik ni tak faham ke. Saya ni kena balik kampung. Abang saya kemalangan. Lantak encik la nak percaya ke tak. Yang pastinya, saya tak bohong encik,” marah Iffa. Nada suaranya yang tadinya lembut agak sedikit meninggi kali ini.
     Qasyaf terdiam dari corong telefon. Mungkin sedikit terkejut dengan tindakan Iffa yang drastik itu.
     “Okey. Disebabkan aku percaya pada kau. Aku lepaskan kau kali ni. Tapi kalau polis tanya mana IC kau, pandai-pandai kaulah nak menjawab. Assalamualaikum.” Qasyaf mematikan taliannya.
     Iffa geram. “Kenapa lelaki ni suka sangat mengugut? Macam tak ada kerja lain yang nak di buat. Minta-minta lah aku tak dapat suami macam dia.” Iffa memasukkan semula telefon bimbitnya itu ke dalam beg tangan.
     Matanya dikerlingkan ke arah Sara yang leka memandu. Satu keluhan dilepaskan. Nampaknya Sara memang bersungguh untuk sampai dengan segera. Beruntung Along dapat memiliki hati Sara..

************************

HAKIMI menolak pintu pejabat Qasyaf. Kemudian dia menarik kerusi berhadapan Qasyaf dan terus melabuhkan duduknya di kerusi itu.
     “Nah..” Hakimi menghulurkan sekeping kad yang bersampul.
     Qasyaf menyambut pemberian Hakimi. “Kad apa ni?” soalnya. Tangannya ligat membuka sampul kad itu.
     “Buka dulu.”
     Qasyaf menarik keluar kad itu. Tertera perkataan ‘Walimatul Urus’ di muka depan kad yang berwarna hijau itu.
     “Kad kahwin Hafie?” tanya Qasyaf sambil menunjukkan kad itu kepada Hakimi.
     Hakimi mengangguk.
     “Kenapa dia bagi pada kau pula? Dia tak nak jumpa aku ke?”
     Hakimi tergelak. “Dia bukan tak nak jumpa kau. Tapi dia tak sempat nak jumpa. Sibuk dengan wedding dia. Ini pun aku jumpa dia secara kebetulan. Itu yang dia bagi aku kad wedding dia,” terang Hakimi panjang lebar.
     Qasyaf mengangguk tanda faham. Memang kawannya yang seorang tu sibuk dengan weddingnya yang bakal tiba nanti. Dia juga tidak sempat hendak bertemu dengan lelaki itu.
     “Macam mana dengan rancangan gila kau? Menjadi?” tanya Hakimi. Dia bersandar ke kerusi agar duduknya lebih selera.
     Qasyaf mengeluh apabila soalan itu diajukan kepadanya. Dia sendiri pening dengan sikap Iffa. Bagaimana dia hendak memulakan rancangannya kalau sikap degil Iffa itu menghalang rancangannya untuk segera terlaksana.
     “Aku belum mulakan rancangan tu. Iffa jenis yang agak degil. Nampak macam lembut aje,” ujar Qasyaf sambil mencapai air putih di hadapannya itu lalu diteguknya beberapa kali.
     “Hmm.. Aku rasa, baik kau mulakan cepat. Lagi cepat kau mulakan rancangan kau, lagi cepatlah kau kahwin dengan dia.”
     “Maksud kau?” Qasyaf pelik dengan ujaran Hakimi. Dia tidak dapat menangkap maksud dari kata-kata temannya itu.
     “Aku dapat rasakan yang Selena tengah merancang untuk tambat hati kau semula,” kata Hakimi selamba. Nalurinya jarang tersasar.
     Qasyaf menghela nafas berat. “Memang tak faham-faham betul perempuan tu.” Qasyaf menggeleng. Dia sudah tidak lalu hendak menyebut nama Selena lagi. Buat sakit hati aje.
     “Apa-apa pun, kahwin cepat sikit. Aku tak sabar nak makan nasi minyak dua kali.” Terhambur gelak tawa Hakimi. Qasyaf juga begitu.
     “Kau jangan risau. Secepat mungkin aku nak jadikan dia isteri aku. Nampak solehah, baik. Yalah.. walaupun dia kasar dengan aku, tapi aku tau, dalam hatinya penuh kelembutan. Itu yang buat aku jatuh hati dengan dia. Tapi, disebabkan aku nak bebas dari Selena, aku terpaksa gunakan rancangan gila ni. Lepas kahwin baru aku mula ambil hati dia.” Qasyaf bersyarah panjang lebar. Dia tersengih sendiri. Seperti semuanya sudah terjadi.
     Hakimi tergelak lagi. “Memang.. memang geliga otak kau ni,” ujar Hakimi.
     Qasyaf tersenyum senang. Tak sabar rasanya hendak menunggu kepulangan Iffa dari kampung. Dia tak sabar hendak memulakan rancangan gila yang diciptanya itu. Mudah-mudahan berjalan dengan lancar..

*******************

“IBU, macam mana keadaan Along?” tanya Iffa sebaik sahaja dia tiba di depan pintu wad.    
      Puan Hanan yang menyedari kedatangan anak bongsunya itu terus mendakap gadis itu ke dalam pelukannya. Air mata yang sudah lama berlinangan disekanya dengan sapu tangan yang sudah tersedia.
     “Iffa..” Hanya perkataan itu yang mampu diluahkan.
     Air mata Iffa juga turut berlinangan. Dia dapat rasakan apa yang ibunya rasai saat ini. Sara menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Puan Hanan. Puan Hanan menyambut lembut dan terus mendakap gadis itu pula. Dia tahu Sara masih memegang status buah hati Airil.
     “Boleh Iffa jenguk Along sekarang, ibu?” soal Iffa. Takut-takut sekarang bukan waktu sesuai untuk menjenguk abangnya itu.
     Sara hanya diam menunggu jawapan. Dia juga tidak sabar hendak menemui kekasih hatinya itu. Jujur. Dia amat risau akan keadaan lelaki itu lebih dari dirinya sendiri.
     Puan Hanan mengangguk. Iffa menolak pintu bilik wad itu. Sara mengikuti dari belakang. Air mata yang berjurai disekanya dengan hujung baju kurung yang dipakai.
     Melihat sekujur tubuh yang terbaring di atas katil dan bernafas dengan bantuan alatan amat memilukan hati Iffa dan yang lainnya. Iffa dan Sara mendekati Airil yang terbaring lemah.
     “Along.. “ Iffa ingin berbicara tetapi dia tidak mampu. Tidak mampu hendak melihat keadaan abangnya seperti ini. Terbaring lesu seperti seseorang yang tidak bernyawa.
     “Awak.. Awak jangan tinggalkan saya, okey?” Terdengar suara serak milik Sara dalam sedu tangisnya.
     Sara menggengggam tangan Airil yang kaku itu. Hatinya pilu. Ya Allahh.. Kau selamatkan Airil..
     Iffa memeluk bahu sahabatnya itu.
     “Kita doakan supaya Airil cepat sembuh ya,” ujar Puan Hanan.
     Iffa dan Sara mengangguk.
     Di dalam bilik itu hanya ada Iffa, Sara dan Puan Hanan. Wajah Encik Irfan masih tidak kelihatan semenjak Iffa dan Sara tiba di tempat itu. Mungkin Encik Irfan ada urusan yang harus diselesaikan dan menitipkan penjagaan Airil kepada Puan Hanan.
     “Awak.. Awak cepat sembuh tau. Awak kena sihat macam selalu. Saya akan sentiasa doakan awak,” ujar Sara layu.
     Menurut Puan Hanan, Airil kemalangan ketika pulang dari tempat kerjanya. Sama ada dia yang melanggar orang atau orang yang melanggarnya, itu masih di dalam persoalan kerana Airil ditemui pejalan kaki dalam keadaan agak parah.
     Apabila dihantar ke hospital, doktor mengesahkan kaki anak lelakinya itu terkena tiga retakan. Ditambah pula dengan kecederaan di kepala, benar-benar membuatkan hati keibuannya tersentuh.
     Iffa beristighfar beberapa kali mendengar cerita ibunya. Sara pula sudah berlinangan air mata. 
     “Airil koma. Paling tidak pun, dalam masa sebulan baru tersedar. Ibu tak sampai hati tengok keadaannya macam tu,” ujar Puan Hanan dalam sedu.
     Sara mendekati Puan Hanan. “Ibu.. Kita sama-samalah doakan kesembuhan untuk Airil. Ibu jangan sedih macam ni. Nanti Sara dan Iffa pun turut bersedih.”
     Sara memang menggunakan panggilan ‘ibu’ atas permintaan Puan Hanan sendiri. Bakal menantu katanya.
     Puan Hanan hanya mengangguk. “Tak apalah. Jom kita solat zohor berjemaah. Lama dah rasanya kita tak berjemaah bersama,” ajak Puan Hanan.
     Masing-masing mula bangun dari tempat duduk. Sara mendekati Airil. Doa. Dia hanya mampu berdoa agar lelaki itu cepat sembuh dari penderitaannya. Ya Allah.. Kaulah yang maha menyembuhkan. Kau sembuhkanlah dia agar dia dapat bersama-sama kami semula..

*******************

QASYAF mencapai pinggan yang berdekatan dengannya lalu dicedoknya nasi putih ke dalam pinggan itu. Lauk pauk di atas meja itu benar-benar membuatnya terliur. Tambahan lagi makanan kegemarannya turut tersenarai. Selepas mencedok lauk ke dalam pinggan, dia mula menadah tangan. Bismillahirrahmanirrahim...
     “Laparnnya anak ibu ni,” tegur Datin Halimah.
     Qasyaf hanya tersenyum. “I’m sorry, mama. Syaf tak sempat nak balik untuk dinner sekali dengan yang lain. Banyak kerja kat office tadi.”
     “Tak apa. Mama faham. Anak lelaki mama ni kan dah tiru gaya ayah dia,” usik Datin Halimah. Dia hanya duduk merenung anak lelakinya yang seorang ini.
     Qasyaf tersenyum kambing. Tiada yang lebih memahami dirinya selain Allah dan mama. Dia benar-benar bersyukur kerana Allah memberikan kepadanya ibu yang sangat baik.
     Usai makan, Qasyaf menuju ke singki dan membasuh pinggannya. Kemudian dia kembali semula ke kerusinya.
     “Ma, Syaf ada benda nak bagitahu mama. Very important.”
     “Apa dia, sayang?” Tangan anak lelakinya itu digenggam.
     Qasyaf menghela nafas panjang. Dia menatap anak mata Datin Halimah. Lama.
     “Syaf nak kahwin.”
     Tiga perkataan itu cukup membuatkan Datin Halimah sedikit terkejut.
     “Syaf.. nak kahwin? Dengan siapa? Selena?” Bertubi-tubi soalan yang ditujukan kepada Qasyaf.
     Qasyaf tergamam. Selena? Noo.. “Ma, bukan dengan Ena. Dengan perempuan lain,” tegas Qasyaf. Dia tidak mahu namanya digandingkan lagi dengan Selena. Selena itu hanyalah masa lalu yang hendak dia hilangkan dari memori ingatannya.
     Datin Halimah tersenyum manis. Dia sengaja berkata begitu. Manalah tahu hati anak terunanya ini terbuka semula buat Selena. Takdir Allah, siapalah yang tahu.
     “Perempuan mana pula ni, Syaf? Baru putus tunang dah nak kahwin pula,” duga Datin Halimah.
     “Itu tak ada kena mengena, mama. Kali ni Syaf yakin dengan pilihan Syaf. Dan Syaf yakin papa dan mama mesti bersyukur dapat menantu seperti dia.” Qasyaf bertutur penuh keyakinan.
     “Agak macam manalah bakal isteri Syaf tu. Bagilah gambarannya pada mama,” gesa Datin Halimah ingin tahu.
     “Dia seorang yang lembut. Raut wajahnya yang manis buat Syaf jatuh hati. Kalau nak dibuat isteri, full packagelah.” Qasyaf berkata jujur.
     Datin Halimah teruja mendengarkan itu. Rasa tidak sabar pula dia hendak bertemu dengan gadis itu.
     “Bila nak bawa jumpa mama?”
     Qasyaf tersengih. “Dalam masa terdekat ni juga. Just wait, okey. Tak lama lagi mama akan jumpa bakal menantu mama yang solehah tu.”

     Datin Halimah senyum senang. Dia bersyukur kerana anak lelakinya bakal mempunyai isteri yang solehah. Mudah-mudahan Allah mempercepatkan perancangan ini...

THANKS FOR READING.. KOMEN CKET !!

5 comments:

ridoma said...

sedap je baca ayat yg teratur..best penulisan awak

Rozita Said said...

Nice story... :)

Rozita Said said...

Nice story... ;)

Rozita Said said...

Nice story... :)

Anonymous said...

Best. blk dr outstation trus cr alhamdulillah ada pn.... hilang penat

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...